Sunday, August 31, 2008

MERUNGKAI KEJAYAAN UMAT DI BULAN RAMADHAN


Sebahagian umat Islam hari ini mempunyai persepsi yang salah tentang puasa dan aktiviti-aktiviti orang berpuasa. Puasa bagi mereka adalah istirehat dengan menghabiskan sebahagian besar waktu siang dengan tidur. Amalan ini menjadikan mereka malas, tidak aktif dan mudah tersinggung. Sepatutnya semangat Ramadan ini akan memberangsangkan mereka dalam meningkatkan aktiviti pekerjaan harian.

Seingat kita banyak peristiwa penting dalam sejarah di mana dalam bulan Ramadan pelbagai peristiwa menggambarkan kekuatan dan kehebatan umat Islam di dalam menghadapi golongan kufur. Pada bulan Ramadan inilah juga, Nabi Muhammad SAW memerintahkan agar masjid al-Dhirar yang dibangunkan oleh kaum munafik Madinah di robohkan.

Pada 17 Ramadan 2H, Allah SWT memisahkan kebenaran dari kebatilan dalam perang Badar di mana Allah memberi kemenangan kepada umat muslim yang ketika itu hanya 313 sahabat dibandingkan dengan 1000 musuh. Allah telah menurunkan 1000 malaikat kepada mereka untuk ikut memperkuatkan barisan kaum muslim. Firman Allah SWT:

(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu lalu diperkenankan- Nya bagimu: Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut. Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al- Anfaal ayat 9-1).

Pada hari ke-11 bulan Ramadan, Rasulullah saw berjaya menakluki kembali kota Mekah tanpa peperangan. Untuk pertama kalinya dalam sejarah Mekah, sahabat Nabi SAW yang mulia, Bilal ra, naik di samping Kaabah, mendengarkan pada dunia suara Allahu Akbar. Bergemalah suara itu ke seluruh penjuru kota Mekah.

Pada bulan Ramadan juga berlaku peperangan antara Thariq bin Ziyad yang memimpin 12,000 tentera Islam dengan pasukan Kristian yang diketuai Roderik yang memimpin 90,000 orang tentera. Kemenangan dicapai oleh umat Islam dan selama 700 tahun Islam bertapak di bumi Sepanyol.

Demikian makna dan peringatan bulan Ramdan terkumpul istilah ibadah, jihad dan kemenangan. Bukan sekadar lapar dan dahaga sahaja. Bulan Ramadan terus menjadi bulan ujian dan bulan yang memudahkan jiwa kita yang bertaqwa bagi menghadapi tentangan yang nampak mustahil.

Kita memerlukan kaum muslim yang dapat mencontohi teladan Nabi SAW .Thariq bin Ziyad, Salahuddin Al Ayyubi dan pahlawan-pahlawan Islam lain bagi meneruskan tradisi ini. Firman Allah SWT:

Dan Allah telah berjanji pada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang- orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. (Surah an-Nuur ayat 55).

GambaranRamadan juga bulan yang penuh dangan gambaran terhadap nilai-nilai kemanusiaan. Ketika rasa lapar dan haus hadir dalam diri kita,maka keikhlasan kita ketika melaksanakan ibadah Ramadan tercermin daripada perilaku kita untuk mencapai keredaan Allah. Salah satu sasaran awal puasa ialah lapar. Kerana dengan laparlah si kaya dan si miskin menjadi sama darjat. Lapar merupakan salah satu keadaan umum yang dimiliki oleh kaum daif dan orang miskin. Kemiskinan harta mengakibatkan mereka tidak mampu membeli sesuatu yang dapat menghilangkan rasa laparnya. Pada bulan Ramadan yang suci ini, Allah SWT berkehendak si kaya ikut merasakan derita lapar sebagaimana yang dialami saudaranya yang miskin. Dengan lapar yang dirasakan si kaya, mereka akan turut merasakan pedih dan peritnnya rasa lapar. Dengan ini si kaya mulai berasa simpati kepada orang miskin yang sangat akrab dengan rasa lapar, sampai akhirnya tumbuh rasa kasih di dalam hati si kaya.

Inilah yang hendak dicapai melalui puasa. Jika lapar adalah sasaran awal, maka belas kasih adalah sasaran akhir daripada puasa. Dengan belas kasih inilah si kaya terdorong melakukan sesuatu bagi menolong orang yang lemah dan miskin.

Lapar akan mewariskan hikmah, mewariskan keterjagaan hati dan dorongan mendekatkan diri kepada Allah SWT, serta melazimkan kesedihan dan meringankan pertolongan di antara manusia, juga mewariskan perkataan yang benar, dan ia tidak peduli, apakah ia hidup senang atau susah.

Rasa lapar akan membangunkan hati yang tertidur dan membangkitkan jiwa yang lemah dan lalai. Rasa lapar dapat menggoncang kesedaran rohani seseorang daripada malas dan berfoya-foya. Mata batin orang yang lapar akan terbuka menangkap rahsia-rahsia kehidupan dan tanda-tanda zaman. Ia menjadi ibrah pelajaran dalam kehidupan. Akhirnya, orang yang lapar sanggup mencerap hikmah-hikmah daripada Tuhannya. Orang yang lapar akan ringan tubuh dan gerakannya. Kerana itu pula ia menjadi ringan melakukan segala kegiatan ibadah ritual dan ringan tangannya untuk melakukan pertolongan dan bantuan sebagai realisasi daripada ibadah sosialnya. Lalu bagaimana puasa dapat melahirkan cinta Ilahi? Allah mencintai orang yang sengaja berlapar diri atau berpuasa, kerana salah satu karakter para kekasih Tuhan (wali Allah) adalah berlapar diri. Di dalam hadis, mikraj menyebut beberapa sifat wali Allah,"perut mereka tipis dari makanan halal"

Kita tidak dapat memperoleh cinta-Nya sebelum kita sanggup mencintai sesama manusia. Ini bererti, puasa mesti menghasilkan kepekaan jiwa, sensitiviti sosial kepada orang yang patut dikasihi, iaitu kaum daif yang sering mengalami kelaparan.

No comments: